Tuesday 3 December 2013

LARIAN KONVO DI UMS

Sebahagian daripada peserta menyertai Larian Konvo UMS sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, Sabah, kelmarin.
KOTA KINABALU 19 Nov. - Kehangatan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang kini tinggal beberapa hari lagi semakin terasa.
Bagi menyemarakkan acara berprestij universiti itu, Majlis Kepimpinan Pelajar (MPP) menerusi kerjasama Pelajar Pengurusan Sains Sukan Tahun 2 dan Tahun 3 menganjurkan Larian Konvo UMS semalam sempena pengisian Tamu Gadang 2013 yang bermula Khamis ini.
Larian sejauh tujuh kilometer itu bermula dari Padang Kawad Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dan berakhir di Pusat Kegiatan Luar (ODEC) UMS.
Seramai 245 peserta mengambil bahagian bagi merebut empat kategori yang dipertandingkan iaitu kategori Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Sekolah Terbuka Lelaki dan Sekolah Terbuka Wanita.
Bagi kategori terbuka lelaki, Ruston Masri muncul johan mengetepikan pesaing terdekatnya, Frederic Herman di tempat kedua, manakala tempat ketiga milik Louis Muslin.
Kategori Terbuka Wanita pula menyaksikan Emily Singan terus gagah melangkah hingga ke garisan penamat untuk dinobatkan sebagai juara sekali gus menafikan harapan Chong Vun Lung yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua, diikuti Dora Suan di tempat ketiga.
Johan, naib johan dan pemenang tempat ketiga bagi kedua-dua kategori masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM250, RM150 dan RM80 beserta medal serta hamper.
Kategori Sekolah Terbuka Lelaki menyaksikan Jusli Jaiban dari Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial (SPPS) UMS muncul johan, diikuti Kenson Rubanjan dari Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial (SPKS) UMS di tempat kedua, manakala tempat ketiga pelajar SPKS, Samzah Lawis.
Bagi kategori Sekolah Terbuka Wanita pula menyaksikan pelajar SPKS sekali lagi mendominasi acara tersebut apabila pelajarnya, Hau Sui Chee dinobatkan sebagai juara bagi kategori berkenaan.
Naib johan disandang pelajar Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa (SPTA) UMS, Au Hwi Ji dan tempat ketiga dimenangi Wann Huzida Roza Husin dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) UMS.
Johan bagi kedua-dua kategori itu menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1500, medal dan hamper, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima RM1000 dan RM500 berserta medal serta hamper.
Kejuaraan yang diperoleh dalam kategori Sekolah Terbuka Lelaki juga membolehkan SPPS membawa pulang Piala Pusingan Larian Konvo 2013.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengetua Kolej Kediaman CD, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Datuk Dr. Kasim Md. Mansur.




 NOR MUHAMMAD MUSTAQIM BIN YAACOB
BC12160218

No comments:

Post a Comment