Tuesday 3 December 2013

MAJLIS PENUTUPAN TAMU GADANG 2013

Rozman Isli mengetuk gong sebagai simbolik kepada Majlis Penutupan Tamu Gadang 2013 di Dewan Utama Kampus Antarabangsa Labuan, Labuan, Sabah, baru-baru ini.
LABUAN 19 Nov. - Mahasiswa diseru supaya sentiasa berusaha mendekatkan diri dengan masyarakat setempat ketika masih berada di menara gading bagi melatih diri mengamalkan cara hidup sihat dalam bermasyarakat.
Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli berkata, mahasiswa wajar mencurahkan kemahiran, kebijaksanaan dan pengalaman mereka kepada masyarakat terutama dalam membentuk budaya atau gaya hidup ketimuran yang menjadi tunjang kepada perpaduan rakyat di negara ini.
Katanya, mencurahkan khidmat kepada masyarakat bukan terhad kepada golongan warga tua atau fakir miskin sahaja, tetapi boleh diperluaskan kepada golongan pelajar sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah di daerah itu.
Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan menambah, ruang dan peluang yang terhidang untuk berbakti kepada masyarakat seharusnya tidak dilepaskan begitu sahaja oleh golongan mahasiswa.
"Saya berharap warga universiti akan sentiasa membabitkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan yang dianjurkan jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Penutupan Tamu Gadang 2013 Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di Dewan Utama UMSKAL, di sini baru-baru ini.
Yang hadir sama, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah; Timbalan Naib Canselor, Prof. Dr. Shariff Abdul Kadir Omang Al-Haj; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Mohd. Nadzri Osman; Pendaftar UMS, Datuk Abdullah Mohd. Said dan Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Ismail Ali.
Persembahan tarian murid Pra Sekolah Kebangsaan Sungai Lada berjaya menarik perhatian penonton dengan persembahan yang bertenaga dan menghiburkan dalam majlis tersebut.
Kumpulan tarian itu turut mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke pertandingan tarian Pra Sekolah peringkat kebangsaan di Shah Alam, Selangor pada Oktober lalu.
Rozman berkata, beliau berbangga dapat menghadiri majlis seumpama itu sebagai tanda sokongan dan komitmen terhadap program pihak universiti sekali gus mampu mengeratkan hubungan baik yang sedia terjalin dengan warga UMSKAL.
Menurutnya, beliau akan terus memastikan hubungan baik itu berkekalan dan memberi manfaat kepada rakyat di Wilayah Persekutuan Labuan selain akan terus membantu menjayakan program pihak universiti terutama yang membabitkan penduduk di 30 kampung di pulau bebas cukai itu.



NOR MUHAMMAD MUSTAQIM BIN YAACOB
BC12160218

No comments:

Post a Comment