SERAMAI
4553 ORANG PELAJAR BERJAYA GRADUAN UMS PADA MAJLIS KONVOKESYEN KE 15
Seramai
4,553 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraihkan pada Majlis Konvokesyen
ke-15 yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini.
Yang
di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Hj. Juhar
Datuk Hj. Mahiruddin yang juga Canselor UMS menyampaikan ijazah kepada 447
graduan pada sidang pertama pagi tadi, manakala sebanyak 452 graduan menerima
ijazah daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman
merangkap Pro-Canselor UMS pada sidang kedua, di sebelah petang.
Selebihnya
akan menerima ijazah masing-masing pada sidang ketiga hingga keenam yang
bersambung esok dan berakhir pada Isnin.
Semasa
merasmikan sidang pertama hari ini, Tun Hj. Juhar berkata, gelanggang
persaingan yang ada di depan mata hendaklah diisi dengan keyakinan, pengetahuan
dan kemahiran. Katanya, banyak usaha telah diambil oleh pihak Kementerian
Pendidikan dan universiti-universiti awam dengan memberi penekanan dalam
meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan dengan memperhebatkan lagi
program-program bagi melengkapkan siswazah dengan nilai tambah.
“Salah
satu aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah kemahiran insaniah. Saya
percaya, kemahiran insaniah adalah antara isu yang menjadi fokus utama dalam
pengajian di universiti-universiti tempatan, sama ada secara langsung ataupun
tidak,” ujarnya lagi.
Menurut
beliau lagi, situasi global pasaran kerja pada masa kini memperlihatkan para
majikan bukan sahaja memerlukan pekerja yang mempunyai kelayakan akademik
semata-mata, bahkan menguasai pelbagai kemahiran seperti kemahiran
berkomunikasi, kerja berpasukan, menyelesaikan masalah, kepemimpinan,
pengurusan selain bijak dan memiliki kebolehan berfikir, bertindak secara
tuntas, pantas dan praktikal.
Konvokesyen
kali ini turut menyaksikan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tan Sri Datuk
Abdul Hamid Egoh dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan) di
samping penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada bekas Naib Canselor
UMS, Prof. Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin. Turut mendapat gelaran Profesor Emeritus
ialah bekas Pensyarah Sejarah, Sekolah Sains Sosial UMS, Prof. Dr. Sabihah
Osman yang tidak berkesempatan hadir pada majlis tersebut.
Sementara
itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah ketika berucap
dalam sidang kedua menasihatkan graduan supaya memanfaatkan ilmu sebagai
pembudayaan hidup ke arah kebaikan sejagat.
"Ilmu
adalah cahaya dalam memberi sinar penunjuk jalan buat menemani hidup yang fana
di atas pentas dunia yang bersifat sementara ini. Marilah kita sama-sama
mengharungi kesempatan hidup untuk mengamalkan kebaikan sebagai pembentuk citra
beradab, sopan santun, saling memahami, menerima kekurangan adalah bukti
kesempurnaan ciptaan Tuhan lambang kerendahan hati sebagai orang yang berilmu,”
katanya lagi.
Turut hadir, Pro-Canselor UMS, Tan Sri Dato’ Seri
(Dr) Yeoh Ting Lay dan Pegawai-pegawai Utama UMS.
ZAIROL HAFIZ BIN ZAIDI
BC12110183
No comments:
Post a Comment