Monday 28 October 2013

IBADAH KORBAN DI UMS

MUSTAQIM : aidiladha KHAMIS, 17 OKTOBER – “Penyumbang korban seharusnya turut mengambil bahagian dalam ibadah korban, dan bukan hanya menyumbang duit”.

Demikian keluhan salah seorang penyembelih haiwan korban yang juga merupakan , Timbalan Dekan Akademik & HEP, Sekolah Sains Makanan dan Pemakanan (SSMP), Dr. Mohd. Rosni Sulaiman berkenaan kehadiran penyumbang korban yang kurang memberangsangkan ketika ibadah korban dilangsungkan.

Katanya, kehadiran penyumbang korban pada ibadah tersebut hanyalah sekitar 15% daripada jumlah penyumbang, sesuatu yang tidak wajar berlaku kerana penyumbang korban juga seharusnya menghayati ibadah korban itu sendiri.

“Sebagaimana yang kita ketahui, ibadah korban merupakan satu ibadah yang cukup mulia dan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sesungguhnya, fadhilat serta kelebihan ibadah korban amatlah besar bagi mereka yang melaksanakan perintah Allah SWT”.

“Namun begitu, yang membuat saya rasa sedikit terkilan adalah jumlah kehadiran penyumbang korban yang mengambil bahagian pada hari ini amatlah sedikit,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, duit atau sumbangan yang dikeluarkan untuk ibadah korban ini bukanlah satu ukuran, tetapi apa yang penting ialah ibadah tersebut dilaksanakan bersama-sama, ataupun sekurang-kurangnya penyumbang menyaksikan proses korban tersebut dilakukan.

“Apa salahnya sekiranya mereka turut bersama-sama bertakbir atau sekadar menyaksikan proses penyembelihan dilakukan. Sekurang-kurangnya mereka dapat menghayati hakikat sebenar ibadah korban ini,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar para penyumbang korban dapat meluangkan masa untuk bersama-sama hadir melaksanakan ibadah korban tersebut pada masa akan datang.

Dalam pada itu, lebih 50 orang peserta terdiri daripada warga UMS terlibat dalam acara penyembelihan, pelapahan dan pengagihan daging korban bersempena dengan Majlis Ibadah Qurban Peringkat UMS 1434H/2013M. Daging korban tersebut kemudiannya diagihkan kepada lebih 110 orang penerima dalam kalangan golongan saudara-saudara baharu, fakir miskin dan yang berpendapatan rendah




MUHAMMAD MUSTAQIM BIN YAACOB

( BC12160218 )

No comments:

Post a Comment