Monday 28 October 2013

Kerajaan Timor Leste pelawa UMS



KINABALU 8 Okt. - Kerajaan Timor Leste mempelawa Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk meneroka serta menjalankan penyelidikan sumber minyak dan gas di negara itu .
Duta Besar Republik Demokratik Timor Leste ke Malaysia, Jose Antonio Amorim Dias berkata, penyelidikan dan pertukaran teknologi oleh kedua-dua pihak penting memandangkan negara itu masih kekurangan kepakaran dan teknologi dalam bidang tersebut.
"Timor Leste sedang memacu pembangunan ekonomi melalui peningkatan dalam bidang pendidikan dan infrastruktur. Justeru, kerjasama antara kedua-dua pihak mampu membantu aspirasi kami dalam membangunkan ekonomi Negara.
Kunjungan yang memfokuskan kerjasama dua hala dalam bidang akademik bagi membolehkan para kakitangan akademik UMS meneroka sumber yang terdapat di Timor Leste menjadi intipati penting dalam lawatan tersebut.
Jose berkata, hubungan antarabangsa berpotensi untuk dijadikan bahan penyelidikan oleh kedua-dua pihak memandangkan pengalaman negara itu sendiri dalam mencapai kemerdekaan dan ketika menyertai ASEAN.
Beliau menambah, negara itu turut mengalu-alukan pelabur-pelabur dari Malaysia untuk menjalankan perniagaan di Timor Leste.
Katanya, antara perniagaan yang berpotensi untuk pelaburan adalah bidang pertanian terutama kelapa sawit, kayu jati, cari gali minyak, gas dan sebagainya.
Sementara itu Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata, UMS bersedia untuk menjalinkan kerjasama dua hala dengan institusi pendidikan dan agensi kerajaan dari negara tersebut.
Katanya, kerjasama itu merupakan satu peluang yang harus diraih dan direbut oleh kakitangan akademik dan pelajar UMS bagi menjana ilmu dalam konteks sumber modal insan.

(SITI NORHAYATI SHAMSUDIN)
BC12160225

No comments:

Post a Comment