Monday 6 January 2014

SITI NORHAYATI BT SHAMSUDIN
BC12160225
“Tanduo” Bolot 6 Anugerah
JUMAAT, 20 DISEMBER – Festival Skrin Digital Pelajar (FSDP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berakhir malam kelmarin menyaksikan filem “Tanduo” 6 anugerah termasuk Filem Terbaik.
      Filem “Tanduo” yang berkisarkan perjuangan anak-anak muda mempertahankan kampung mereka daripada serangan penceroboh berjaya membawa membolot anugerah Kesan Khas Visual Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Lakon Layar dan Cerita Asal Terbaik, Filem Pilihan Penonton dan Pengarah Terbaik.
   “Saya rasa bahagia,” tegas Mohd Sopi, pengarah dan penerbit filem “Tanduo” yang juga pelajar tahun tiga program Teknologi Seni Visual, Sekolah Pengajian Seni (SPS), UMS ketika ditemui Media Canselori.
   “Tiga bulan masa yang diambil oleh saya dan 11 ahli produksi untuk menyiapkan filem ini dengan cabaran seperti kekangan bajet, masa, cuaca dan kekurangan peralatan,” katanya.
      Tambah beliau lagi, idea menghasilkan filem berdurasi 18 minit ini berikutan kejadian serangan pengganas yang berlaku awal tahun ini dan idea tersebut diterjemahkan ke dalam bentuk visual yang digemari oleh penonton, termasuk juga juri festival.
    “Saya beruntung dan berterima kasih kepada pensyarah yang sentiasa memberikan komen, teguran dan nasihat sepanjang menyiapkan filem ini,” jelasnya yang akan menghasilkan sekuel “Tanduo” dalam masa terdekat ini.
          Menurut Penyelaras Festival, M Fazmi Hisham, penganjuran FSDP adalah memberikan pengiktirafan hasil kreativiti dan produk filem yang diterbitkan oleh pelajar UMS.
    “Selain pengiktirafan, menerusi FSDP juga para pelajar yang terbabit dapat mempamer, menayang dan berkongsi produk filem mereka dengan pelajar dan audiens,” katanya.
     Tambah beliau lagi, respons daripada audiens dan penonton yang hadir adalah supaya FSDP dibuka penyertaan kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di Sabah untuk turut serta bagi meningkatkan lagi persaingan seterusnya menghasilkan filem pendek yang berkualiti.
      FSDP yang julung kali dianjurkan SPS menyaksikan penyertaan 18 buah filem yang diproduksikan oleh pelajar SPS termasuk juga dari Sekolah Sains Informatik Labuan (SSIL), UMS Kampus Antarabangsa Labuan dengan menawarkan sebanyak 14 anugerah itu.
       Pada majlis tersebut, Penolong Pengarah, Unit Latihan Industri FINAS, Zainuddin Aman merasmikan malam anugerah FSDP dan turut menyampaikan piala kepada pemenang utama.

     Turut hadir, Dekan SPS, Prof. Madya Abdul Jamal Abd. Hamid, Timbalan Dekan (HEPA) Dr Zairul Anuar Md Dawam dan pensyarah-pensyarah SPS yang turut sama menyampaikan anugerah kepada pemenang.

No comments:

Post a Comment