Cabaran
Berbasikal Malam Konvo UMS Pelawa Penyertaan Orang Ramai
KHAMIS, 21 NOVEMBER - Sempena meraikan
Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-15, buat pertama kalinya
universiti Eko-Kampus itu akan menganjurkan aktiviti berbasikal pada waktu
malam sebagai salah satu acara pengisian Tamu Gadang.
Menurut Penasihat aktiviti berkenaan, Dr.
Mohamad Nizam Nazarudin, penyertaan itu
adalah terbuka kepada orang ramai bermula dari Tapak Tamu Gadang UMS.
“Para peserta Cabaran Berbasikal Malam
Konvo UMS ini akan dilepaskan sekitar jam 8.00 malam dan akan melakukan kayuhan
sejauh 20 kilometer mengelilingi UMS menggunakan laluan yang sering dilalui
oleh kumpulan-kumpulan basikal yang kerap beriadah di dalam kampus. Mereka yang
berjaya menghabiskan jarak laluan pada masa yang ditetapkan akan menerima
sijil,” ujarnya ketika dihubungi Media Canselori.
Tambah beliau, peserta yang yang berminat
boleh menghubungi Pang Ngiap Ting di talian 0168349934, manakala mereka yang
telah mendaftar dikehendaki berkumpul di Tapak Tamu Gadang seawal jam 7.00
malam pada hari acara tersebut diadakan.
Ketika ditanya mengenai manfaat dalam
kegiatan aktif beriadah seperti berbasikal itu, Dr. Nizam yang juga Pensyarah
Program Sains Sukan berkata, ia mampu membantu mengurangkan risiko penyakit
jantung, tekanan darah tinggi, obesiti dan diabetes.
“Kadar latihan yang sederhana dapat
mengurang tekanan dan stres, memperbaiki emosi dan meningkatkan keyakinan.
Aktiviti berbasikal ini juga dapat meningkat kecergasan fizikal seperti
ketahanan kardiovaskular, kekuatan dan koordinasi,” jelasnya lagi.
Cabaran berbasikal itu merupakan anjuran
bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pelajar Sains Sukan (Pengurusan
Sukan) tahun 2 dan 3.
Selain bertujuan memperkenalkan UMS sebagai
destinasi berbasikal yang selamat kepada warga bandar raya Kota Kinabalu ia
juga sekali gus mengukuhkan jalinan akrab antara UMS dengan masyarakat melalui
sukan.
Peserta yang memakai pakaian dan basikal
yang unik turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai dan hamper.
SITI NORHAYATI BT SHAMSUDIN
No comments:
Post a Comment