Tuesday 19 November 2013

Program PUPUK Beri Ruang Pelajar Dekati Penduduk Luar Bandar


Program Perkongsian Universiti-Keluarga (PUPUK), Sekolah Perubatan yang telah dilaksanakan bermula pada tahun 2006 bukan sahaja mampu memberi persediaan kepada pelajar dengan situasi sebenar yang bakal dilalui oleh seorang doktor, malah turut memberi pendedahan kepada pelajar untuk terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan serta menilai tahap kesihatan masyarakat di luar bandar.
Chin Ket Meng, pelajar tahun tiga Sekolah Perubatan berkata program PUPUK memberi beliau merasa sendiri pengalaman berada di kawasan pedalaman bersama keluarga angkat yang berbeza latar belakang.
“Di sana, selain berinteraksi bersama mereka, saya dapat membantu keluarga angkat saya dengan memberi khidmat nasihat berkenaan kesihatan dan memperoleh serta memantau data-data baru berhubung tahap kesihatan ahli keluarga angkat. Saya akan aplikasikan pelajaran di kelas untuk tujuan itu,” jelasnya.
Tambahnya lagi, beliau beruntung kerana ditempatkan bersama keluarga Osubing yang mesra dan memberikan layanan baik terhadap dirinya.
Sementara itu, salah seorang peserta program PUPUK, Zakiah Osubing, 31, gembira dengan pelaksanaan program ini di kampungnya, iaitu Kg. Kandawayon. Ujarnya, program seperti ini harus diteruskan kerana sedikit sebanyak dapat membantu penduduk kampung berkaitan kesihatan.
“Mereka sering mengunjungi kami sekiranya mereka punya masa terluang. Apabila mereka ke sini, mereka akan membuat pemeriksaan kesihatan terhadap kami dan bertanyakan tentang perkembangan kesihatan kami sekeluarga,”.
“Saya sendiri sudah menganggap mereka seperti keluarga kami sendiri. Saya berharap mereka akan mencapai kejayaan dan bergelar doktor setelah tamat pengajian nanti,” katanya.

Sehingga kini, sejumlah 467 orang pelajar perubatan, dengan lebih 200 buah keluarga angkat dari 37 buah kampung di sekitar Kudat telah terlibat dalam program ini. Program tersebut mampu memberi manfaat dari segi meningkatkan taraf kesihatan dan kesedaran penduduk desa ke arah gaya hidup yang lebih sihat disamping menghasilkan graduan perubatan yang berkualiti tinggi dan bersedia untuk berkhidmat di luar bandar pada masa akan datang.



ZAIROL HAFIZ BIN ZAIDI
BC12110183

No comments:

Post a Comment