Friday 29 November 2013

Qasidah Tinta Penghargaan Buat Mantan Dekan
JUMAAT, 28 NOVEMBER - Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini telah melancarkan satu festschrift sebagai tanda penghargaan kepada mantan dekan pusat tersebut, Prof. Dr. Ahmat Adam.
Festschrift yang merupakan projek ilmiah PPIB itu bertujuan untuk mengenang jasa bakti serta kesarjanaan dan keintelektualan beliau dalam bidang akademik sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Menurut dekan PPIB, Prof. Vincent Pang, festschrift berjudul Qasidah Tinta itu menggambarkan satu daripada minat Prof. Dr. Ahmat iaitu menggunakan penulisan sebagai cara untuk menyumbang kepada bidang ilmu serta mengubah pemikiran masyarakat.
Festschrift tersebut mengandungi 15 makalah yang disumbangkan oleh rakan akademik dan bekas anak didik Prof. Dr. Ahmat Adam dari dalam dan luar negara membabitkan bidang sejarah, ilmu sosial dan kemanusiaan.
Prof. Dr. Ahmat Adam pernah menerima anugerah Johan Setia Mahkota (J.S.M) pada tahun 2002 kerana bakti dan sumbangan yang dicurahkan oleh beliau dalam usaha membangun dan memperkasakan pendidikan tinggi negara.
Pelancaran festschrift Qasidah Tinta berlangsung di Tingkat 3, Bilik Mesyuarat PPIB dan telah dihadiri oleh lebih 100 orang yang terdiri daripada para kakitangan dan pelajar pusat tersebut.
                                                                                  SITI NORHAYATI BT SHAMSUDIN

                                                                                   BC12160225

No comments:

Post a Comment